Saturday 9 July 2011

1984 saya meninggalkan batu kurau tanah kelahiran, tanpa pernah kembali walau sesaat pun. . . . Bukan salah sesiapa, tapi penghijrahan pasti akan berlaku pada hampir setiap orang atau pada sesebuah keluarga itu, sekurrang-kurangnya sekali seumur hidupnya.  Rumah di Taman Indah, Batu Kurau, dijual dan keluarga saya menetap di Seremban pula, sementara saya masih bekerja di Petaling Jaya.  Tidak sempat berziarah, paklong pula meninggal dunia, menjadikan saya semakin terasa jauh dari Batu Kurau.

Melihat gambar2 yang disiarkan dan diceritakan, rindu kian membara, maklumlah, . ."tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain". Apatah lagi pekan Batu Kurau masih kelihatan seperti 25 tahun yang lalu, walaupun sudah ada beberapa pembaharuan dibuat namun masih kekal bangunan2 kedai lama yang menyimpan banyak nostalgia lama!

Terkenang. . .  merah sirap ais kepal, harum bau buah2an dari kedai cina yang menjualnya dari dalam balang kaca besar (unik), bau getah sekerap dari kedai yang membeli hasil torehan pekebun sekitar Batu Kurau dan yang masih terngiang-ngiang di telinga saya sehingga hari ini ialah bunyi ketukan besi dari kedai tukang besi yang memantulkan bunyinya ke seluruh pekan hingga ke rumah saya.

Kedai tukang besi itu pula terletak bersebelahan dengan kedai (abang apa ya?) yang menjual koleksi piring hitam sesuai zaman itu. (Tempat saya menunggu bas untuk pergi sekolah ke bandar Taiping). Anehnya bagi saya, bunyi ketukan besi itu tidak langsung terasa membingitkan telinga malah ia umpama degup jantung yang memecah keheningan seluruh pekan yang pernah juga dikatakan pekan "koboi" itu.

 Baru-baru ini, saya dapat menghubungi seorang kawan lama iaitu Zaharah Majid dari Ijok. Dulu sama2 di SMDK (SPM'78). Untungnya dia, tidak perlu berhijrah jauh untuk mencari pekerjaan dan jodoh!